16.3.12

Protégé Musim Pertama : Teater Nisya Khaleed, Ulek Banda dan Chainarong oleh Dewan Budaya USM

Klik pada gambar untuk lebih jelas.

Sukacita dimaklumkan bahawa Pejabat Pembangunan Seni & Budaya (Dewan Budaya) akan menganjurkan Protégé Musim Pertama iaitu persembahan 3 buah teater “Nisya Khaleed”, “Ulek Banda” dan “Chainarong” pada :

Tarikh : 19, 20 dan 21 Mac 2012 (Isnin – Rabu)
Masa : 8.45 malam
Tempat : Auditorium Dewan Budaya, USM Kampus Induk P.Pinang

USM melalui ketiga-tiga teater tersebut telah memenangi beberapa anugerah pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) pada tahun lalu seperti Sayembara Skrip Monodrama DBP, Festival Monodrama DBP, Festival Teater Pendek (15 minit) DBP dan DEKON MAKUM.

Nisya Khaleed
Nisya Khaleed mengisahkan isteri kepada pengebom berani yang menghadapi saat-saat getir di bilik soal siasat. Beliau merupakan isteri, ibu, dan pejuang dalam masa yang sama. Rintihan demi rintihan terpaksa diperdengarkan dari kaca mata seorang wanita yang mungkin mati dalam perjuangan. Adakah perjuangan atau nikmat duniawi menjadi pilihan.


Ulek Banda
Ulek Banda merupakan permainan tradisional dari Kelantan yang sudah lama pupus. Permainan yang dimainkan dulunya selepas musim menuai pada waktu malam di ruang lapang. Anak Banda akan berbaring di atas hamparan dan dikawal oleh Juara dengan jampi mentera diikuti nyanyian sambil bertepuk tangan diselang-selikan dengan pantun. Anak Banda akan menjadi lali dan lupa diri sehinggalah mengikuti apa sahaja yang disuruh oleh Juara. Kali ini Ulek Banda diangkat mewarnai pentas Dekon dengan membawa konflik dua Juara yang mengamalkan permainan tradisional ini. Ada pemaksaan pengorbanan konvensi, peminggiran, perebutan dan perbezaan. Tapa, Juara yangmempertahankan, menelanjangkan Ulek Banda dalam waris konvensi, hidup atas landasan tradisi dan spiritual, manakala Seman, murid kepada Tapa menjadi Juara yang lebih mencampur adukkan permainannya mengikuti dorongan transformasi dan energi semasa. Pertembungan gaya dan kaya halunisasi, dunia supernatural berlawanan dengan proses kompresi dan dekonstruksi. Ini bakal menyaksikan pengalaman nostalgia tradisional bertembung dengan penciptaan strukturalisme. Biarpun pengalaman itu terpecah menjadi imiginasi dan tragedi, tanpa sedar Ulek Banda kembali dilestari !


Chainarong
Mengisahkan kehidupan seorang juara tinju Muay Thai Chainarong yang terpaksa mengharungi liku-liku hidup yang tragis sepanjang kariernya dalam arena tinju Muay Thai. Chainarong bersama-sama sahabat baiknya.  A-Wut belajar Muay Thai sejak kecil lagi. Kedua-dua mereka merantau hingga ke Selatan Thailand mendalami dan mempelajari ilmu tersebut dari beberapa orang guru yang terkenal di Narathiwat, Yala dan Pattani. Semasa berguru dengan Lebai Saleh Kasa di Kg.Simpang Tiga Pattani, Chainarong telah menaruh hati dengan anak gadis gurunya yang bernama Nawari. Pada masa yang sama Chainarong tidak menyedari bahawa sahabat baiknya A-Wut juga menyukai Nawari sehinggalah pada suatu hari A-Wut berterus terang dengan Chainarong dan mengajak Chainarong untuk bertarung merebut Nawari di gelanggang rumah guru mereka. 
Chainarong dapat menewskan A-Wut dan disebabkan terlalu malu A-Wut pulang ke kampung mereka di perkampungan Siam Kg.Nat, Naka Kedah. Chainarong berulang alik dari Bangkok ke Kanchanaburi setiap minggu selama 7 bulan untuk menjalani latihan menghadapi pertandingan Muay Thai World Championship kali ke 7. Tiga minggu sebelum perlawanan akhir, Chainarong menjadi lemah, diserang sejenis penyakit ganjil yang amat menyakitkan sehingga akhirnya dapat disembuhkah oleh Lebai Kasa gurunya dari Pattani. Lawan dan pencabarnya dalam pertandingan itu ialah A-Wut. Ben Mustaza yang menjadi pengurus Chainarong menasihatinya untuk tidak bertanding memandangkan Chainarong belum benar-benar sembuh. Chainarong tetap berdegil untuk ke gelanggang akhir bertemu A-Wut kerana dia tahu bahawa selama ini A-Wut menggunakan ilmu hitam untuk melemahkan Chainarong sebelum ke pertandingan akhir. Biarpun Chainarong dalam keadaan lemah tetapi tetap menentang lawannya A-Wut dan di gelanggang akhir itu A-Wut membelasah Chainarong sehingga parah. Chainarong rebah di gelanggang. Disebabkan dendam terhadap Chainarong cukup tebal dalam dirinya, A-Wut terus memukul Chainarong walaupun setelah diisytiharkan menang oleh pengadil perlawanan. Jari jemari dari tangan itu sentiasa digenggam kuat dan gagah dibalut, disarung. Chainarong cuba bangun dan tetap mahu bertarung…Ben Mustaza meluru masuk ke gelanggang menghalang A-Wut dari terus memukul Chainarong yang sudah tidak bernyawa lagi. Begitulah, untuk menghalang segenggam bara yang menyala menjadi dendam, Chainarong akhirnya terperangkap dan tenggelam...

KUPON MASUK : RM 5

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Encik Murshid Md Hussain, Pegawai Kebudayaan Dewan Budaya USM ditalian 017-4268005 atau pejabat 04-6535811/4126 atau melalui email beliau iaitu murshid@usm.my/paradise_kingkong@yahoo.com

1 comment:

  1. best nya.... lama tak p teater.... rindu dulu duk USM tiap2 sem mesti tak lepas tgk teater...

    ReplyDelete

Selamat mengomen. Untuk lebih lanjut, boleh terus emel kepada saya di jumiess@gmail.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...