15.1.17

House of Hope - Pusat Penjagaan OKU Mental




KES 1:  Anak sulong Puan Anis dan Encik Adam adalah seorang anak down syndrome.  Setelah tamat sekolah pendidikan khas,  Puan Anis dan Encik Adam buntu memikirkan dimanakah tempat yang tepat dan sesuai untuk mereka tempatkan anak sulong mereka ini agar dia boleh belajar dengan orang terlatih tentang cara-cara untuk berdikari seperti insan lain.  Mereka yakin,  anak sulong mereka berhak untuk mendapatkan layanan dan penjagaan yang baik sama seperti orang lain.  


KES 2:  "Kami lima beradik tak tau siapa yang boleh jaga Angah sekarang?  Mak dan abah dah semakin uzur.  Diorang sudah tak ada daya untuk jaga Angah lagi.  Angah perlukan penjagaan dari orang profesional dan terlatih.  Kami tak boleh jaga Angah sebab kami semua pun,  ada keluarga dan anak masing-masing.  Bukan tak sayang pada Angah,  tetapi kami tak mau kalau sebab kelalaian kami,  Angah tak mendapat penjagaan yang selayaknya.  Kami nak cari tempat yang boleh jaga Angah yang juga seorang OKU mental.  Kami sayang Angah.  Kami nak yang terbaik untuk Angah."



KES 3:  Kamarul telah selesai mendapat rawatan di hospital sakit jiwa tetapi dia masih perlu mengambil beberapa preskripsi ubat khas untuk mengawal keseimbangan kimia dalam otaknya agar sakit mentalnya tidak berulang.  Dia tidak bersedia untuk pulang bersama-sama keluarga dan hidupnya yang dahulu kerana tanpa kondisi yang sesuai,  berkemungkinan dia boleh kembali murung dan bertindak ganas dan memberontak.  Dia perlu berada di sebuah tempat yang menawarkan penjagaan susulan tetapi di mana?




Mungkin ada antara kalian yang sedang membaca blog saya hari ini sedang mengalami situasi-situasi seperti di atas.  Mungkin sama, mungkin lebih kurang sama,  tapi pokoknya,  sekiranya kita berada dalam keadaan-keadaan ini,  di mana kita nak cari tempat yang menawarkan perkhidmatan penjagaan untuk OKU mental.  

Hari ini akak nak kongsi dengan kalian semua tentang House of Hope yang merupakan sebuah pusat penjagaan untuk insan-insan OKU bekeperluan mental.


House of Hope
House of Hope (HOH) adalah inisiatif pertubuhan MyHOPE atau Kelab Entiti Pemulihan dan Harapan Orang Kurang Upaya Malaysia adalah merupakan sebuah dan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan atas usaha sekumpulan warga Malaysia dari pelbagai latar kerjaya atas keprihatinan untuk memperkasakan golongan kelainan upaya di Malaysia.


Menyedari bahawa warga kurang upaya adalah aset negara yang terpenting, MyHOPE merasa terpanggil untuk melibatkan diri secara aktif dalam membantu sebarang usaha ke arah pemerkasaan golongan ini.  MyHOPE telah bekerjasama dengan Help & Hope Community Service, iaitu sebuah entiti perkhidmatan yang menawarkan khidmat pengurusan dan terapi kepada golongan bekeperluan khas mental.


Objektif ringkas HOH adalah untuk memberikan sokongan pengurusan tentang hal-hal kebajikan individu-individu oku mental terutamanya dari segi pemulihan sebelum mereka bersedia untuk menjalani kehidupan normal. 


Click read more.


Assisted Living Project 
Assisted Living adalah sebuah program di mana pihak HOH menyediakan penginapan dan perkhidmatan bagi membantu golongan OKU mental menjalani kehidupan seharian secara berdikari. Di tempat penginapan, penghuni akan diberi latihan upaya diri bagi menguruskan diri sendiri seperti membasuh pakaian sendiri, memasak, mengemas, menjaga kebersihan diri dan membeli barangan keperluan.

Bagi penghuni yang berkeupayaan bekerja di luar, pihak HOH akan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian. Jika tidak, mereka akan bekerja di tempat penginapan tersebut dan juga pusat terapi.  Di sini juga penghuni akan dilatih bagi menguruskan perbelanjaan sendiri daripada pendapatan yang mereka peroleh.  

Latihan dan pantauan akan diberikan oleh fasilitator terlatih bagi mengendalikan golongan tersebut. Terapi secara individu dan berkumpulan akan diberikan secara berkala dan mengikut keperluan masing-masing.


Sumber gambar www.helpandhope.com.my



Kepentingan Penjagaan OKU Mental
Masalah yang seringkali dihadapi oleh golongan OKU mental di Malaysia adalah ramai di antara mereka yang tidak memerlukan rawatan di hospital lagi dan boleh menjalani kehidupan normal dengan pemantauan dan pengambilan ubat yang bersistem.  Tetapi mereka tidak mempunyai tempat penginapan yang sesuai di fasa pemulihan ini. 

Apa yang terjadi mereka kembali hidup bersama keluarga, tanpa pantauan yang baik daripada fasilitator dan juruterapi yang terlatih untuk mengendalikan mereka menyebabkan mereka kembali sakit (relapse) dan berisiko untuk mengalami kemurungan atau boleh bertindak ganas seperti yang kita sering baca dan dengar di media massa dan media cetak. 

Ada di antara mereka menyerang ahli keluarga sendiri. Ini semua terjadi kerana tidak menjalani program pemulihan yang sesuai. Bagi kes penghuni yang hanya mengalami kondisi ketidak upayaan mental,  mereka memerlukan sebuah latihan bagi mereka menjalani kehidupan berdikari dan berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain.


Petugas Terlatih
Fasilitator di HOH adalah individu yang terlatih daripada trainer/psikoterapist yang berkelayakan. Mereka juga mempunyai skim latihan untuk fasilitator yang mendapat kerjasama daripada London Borough Richmond Upon Thames Social Service Unit yang merupakan sebuah Unit yang mengendalikan kes-kes penjagaan sosial di bawah Pihak Berkuasa Tempatan Richmond di United Kingdom.


Penghuni House of Hope
Untuk memastikan keselesaan para penghungi,  HOH menghadkan setakat 8 orang penghuni untuk sebuah rumah sahaja. Penginapan akan ditambah mengikut permintaan.  

Ada dalam kalangan penghuni HOH yang telah mendaftar keluar telah mendapat rujukan daripada pakar psikiatri daripada HUKM dan disahkan boleh menjalani kehidupan berdikari.  Tiada had umur untuk penghuni HOH namun rata-rata penghuni berusia 15 tahun dan ke atas.

HOH menerima kes-kes kelainan upaya mental yang tidak perlukan rawatan di hospital mental tetapi masih memerlukan pemulihan sebelum mereka menjalani kehidupan normal dalam masyarakat. Ada kes-kes di mana HOH terima melalui rujukan pakar psiakiatri.  Mereka masih lagi perlu pengambilan ubatan. 

Selain itu,  HOH juga menerima kes-kes ketidak upayaan mental seperti individu-individu yang mempunyai Austisme Spectrum Disorder, down syndrome atau lembam yang memerlukan pemulihan/latihan untuk hidup berdikari.


Contoh gambar bilik yang disediakan kepada penghuni di HOH.  
Sumber gambar www.helpandhope.com.my


Kadar Harga 
Secara amnya,  berikut adalah harga yang ditetapkan untuk penghuni yang ingin mendapatkan rawatan dan latihan di HOH.  Namun untuk memastikan bayaran yang lebih tepat,  tuan/puan boleh hubungi nombor telefon seperti yang saya nyatakan di bawah: 

Penginapan - RM45 sehari
Makanan - RM15 sehari
Utility - RM15 per bulan


Maklumat Lanjut 
Untuk mendapatkan maklumat lanjut,  kalian boleh hubungi talian 016-9144943 (House of Hope) atau hubungi pejabat kami di talian 03-33595745.  Temujanji khas juga boleh diaturkan untuk sesi penilaian (assessment) sebelum proses daftar masuk ke HOH dan mengenal pasti lesson plan yang bersesuaian untuk individu berkenaan.  

Untuk melindungi dan menghormati kerahsiaan para penghuni HOH,  alamat terperinci HOH tidak disertakan disini tetapi secara amnya pusat ini berada di Shah Alam,  Selangor.  Tuan/puan boleh hubungi nombor telefon seperti tertera di atas untuk maklumat lebih lanjut.

Anda juga boleh layari laman web House of Hope seperti di capaian berikut  : www.helpandhope.com.my

Disclaimer:  Pihak House of Hope terikat dengan confidentiality hubungan di antara service provider dan service user yang standard serta Akta Personal Data Protection Act 2010.  Oleh itu segala urusan antara individu yang memerlukan dijamin kerahsiaannya.  

No comments:

Post a Comment

Selamat mengomen. Untuk lebih lanjut, boleh terus emel kepada saya di jumiess@gmail.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...