Mami Marjan dan MC Klinik Kerajaan

Pada suatu hari yang tenang,  Mami Marjan datang ke kaunter perkhidmatan Rumah Kasih yang merupakan pusat khidmat NGO yang memberikan bantuan kewangan dan sebagainya kepada orang yang memerlukan.  Bukan sahaja bantuan dari segi kelengkapan dan keperluan fizikal,  kerja-kerja pantas dalam kejadian bencana malah mengumpul dan mengagihkan bantuan kewangan kepada individu yang memerlukan.


Mami  Marjan adalah seorang peminta bantuan yang tegar.  Boleh kata setiap minggu Mami  Marjan akan datang ke kaunter perkhidmatan untuk meminta bantuan wang kecemasan.  Setiap minggu juga makcik ini tidak pernah gagal untuk mendapatkan wang kecemasan sama ada RM50 ataupun RM100 secara tunai.  


Tetapi pada hari yang tenang ini,  Mami  Marjan kecewa kerana kaunter perkhidmatan tidak memberikan wang bantuan kecemasan kerana pegawai yang memegang wang amanah tersebut sedang bermesyuarat.




Mami  Marjan mula gelisah,  dia mula merayu kepada para pekerja kaunter agar mereka menelefon pegawai dan minta pegawai untuk luluskan duit bantuan itu kepada beliau.  Semua pekerja di kaunter mula menjauhi meja kaunter kerana permintaan Mami  Marjan semakin mendesak,  walaupun dipujuk untuk menunggu sebentar tetapi Mami Marjan tetap menyuruh mereka memberikan wang berkenaan,  malah mengajar mereka apa yang perlu dilakukan.


"Takkan la susah sangat mau kasi duit.  Nabi Muhammad pun marah tau kalau ini macam.  Call sat Tuan Ridhwan,  suruh dia bagi duit sama mami.  Mami selalu datang sini.  Dia tau Mami sapa."


Dalam ramai-ramai staf di kaunter,  seorang staf tidak dapat berganjak untuk mengelak kerana kebetulan dari pagi beliau sedang menguruskan beberapa kerja di kaunter khidmat.  Namanya Wani.


"Adik...adik...tolonglah mami telefon Encik Ridhwan," rayu Mami Marjan melalui kaunter.  Wani yang merasa kasihan,  melihat ke arah anak mata Mami Marjan lalu berkata,


"Tak boleh mami.  Dia duk meeting.  Kita tak boleh kacau,"


"Apa kacau pulak.  Mami  mau amik duit sahaja.  Apa pasai susah sangat mau bagi duit.  Ini bukan Encik Ridhwan punya duit pun..."


"Ya mami,  sebab itu Encik Ridhwan kena buat agihan ikut prosedur.  Sebab duit ini adalah duit orang derma dan kalau jadi apa-apa nanti,  Encik Ridhwan yang kena jawab."


"Mami  tak boleh tau balik rumah ini macam,  kalau balik rumah,  duit takdak.  Mami punya laki akan pukul Mami.  Dia suruh Mami  keluar balik rumah dan jual TUT dan TUT.  Mami bukan macam itu punya perempuan Mami  ada maruah."  


Kata-kata Mami Marjan semakin melalut dan berbaur dengan fakta-fakta yang tidak diperlukan. Ini bukan kali pertama ianya berlaku.  Sebelum ini,  pekerja lain pernah bercerita tentang bagaimana Mami Marjan bergaduh dengan suaminya dan melibatkan kisah-kisah dalam kain.  Pekerja di pusat khidmat sudah ambil maklum dengan perangai Mami Marjan.  Terkadang itu mereka jugak terfikir secara negatif,  adakah betul Mami Marjan tergolong dalam orang susah yang memerlukan bantuan.  Dari segi fizikal kelihatan Mami Marjan masih sihat walafiat dan boleh bekerja,  dari segi pakaian dan rupa juga nampaknya Mami Marjan ni cukup pakai.


Wani semakin stress bila mendengar bingit suara Mami Marjan yang membebel-bebel di kaunter.  Dengan mengambil nafas dalam dan perlahan,  dia memberikan isyarat kepada Mami Marjan untuk diam seketika.  Wani angkat telefon bimbitnya sendiri dan membuat panggilan ke talian telefon bimbit Encik Ridhwan.


"Hello..Wani...saya dalam meeting ni."  Encik Ridhwan membisik dari corong telefon.


"Maaf Encik Ridhwan.  Saya di kaunter ni.  Mami Marjan minta bantuan kecemasan.  Boleh Encik Ridhwan guide kami nak buat macam mana?"


"Ohhh yaka.  Takpa-takpa,  ambil keputusan macam ni.  Ambil dahulu wang kecemasan dan sampul yang saya sediakan dalam pejabat saya.  Minta Hanim bantu.  Ikut prosedur biasa.  Make sure Mami Marjan sign.  Yang selainnya,  takpa nanti saya balik office saya bagi settle."


Mendengar kebenaran daripada Encik Ridhwan,  Wani pun bangun dan menerangkan perkara untuk tindakan Hanim.  Hanim pun bingkas bangun dan mendapatkan sampul surat berisi wang RM50 yang disediakan oleh Encik Ridhwan sebagai sampul bantuan kecemasan kepada pemohonon dan seterusnya Mami Marjan diminta untuk tandatangan di borang khas.


"Terima kasih na adik......mami ucap terima kasih banyak-banyak."  Mami Marjan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Wani sebagai tanda penghargaan.  Raut wajahnya yang tadi seolah-olah marah dan bengang dengan staf kaunter terus berubah menjadi lembut dan sedikit sayu dan pasrah kerana terharu dengan duit bantuan yang telah diterima.


"Mami Marjan....mami boleh baca tak?" tiba-tiba Wani bersuara.  


"Ya boleh...awat cek?"


"Cuba mami baca surat MC saya ni....saya dapat semalam"


"Sijil Cuti Sakit...dari klinik....psikiati dan kesihatan....mental.... haaaaaa...."  Mami Marjan terkejut membacakan pengakhiran butiran pada sekeping kertas kecil bewarna jingga itu.


"Yaaa....mami.  Saya ada surat doktor gila tau.  Nasib baik la pagi-pagi tadi saya dah makan ubat dan boleh relaks sahaja layan permintaan Mami. Kalau tidak,  Mami duk suruh saya buat macam-macam tadi....saya kalau mengamok saya dan katok Mami Marjan...Mami pi report polis pun saya tak boleh kena tangkap masuk penjara tau..." Wani memberikan peringatan kepada Mami Marjan dengan nada yang lembut sopan dan penuh senyuman.  Dalam keadaan itu,  Wani persis seperti seorang psychopath.


"Tak mau...tak mau...." MamiMarjan melangkah ke belakang daripada kaunter.  Seperti orang dalam ketakutan.  


"Mami Marjan tak mau laaaa.....nanti kena tangkap kena karen semua kepala...Mami tak mau..." kata Mami Marjan sambil melangkah pergi dan keluar dari pejabat.  Sudah hampir 2 bulan Mami Marjan tidak datang meminta bantuan kewangan di pejabat ini lagi.


1 comment:

Selamat mengomen. Untuk lebih lanjut, boleh terus emel kepada saya di jumiess@gmail.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...