Saya dan Bipolar Disorder


Hello u olls.  Dah banyak kali nak tulis pasai benda ni kat blog aku,  pernah cuba untuk buat Youtube jugak tapi aku tak terhabis buat.  Tulis-tulis lepas tu padam.  Rasa macam takut,  tak berani,  tak yakin nak cerita benda ni secara terperinci.  Antara yang paling aku takut sekali bila nak story benda ni secara terbuka adalah persepsi orang yang negatif  iaitu "BETUL KA APA YANG DIA CERITA NI?  ALAH.. NI SEMUA AUTA.  DIA TU YANG PEMALAS,  DAN DAN REKA CERITA KATA DIA SAKIT OTAK LA APA LA UNTUK BAGI KITA KESIAN KAT DIA".


Benda ni bukan aku saja-saja nak reka dalam kepala otak.  Sebab benda ni jadi kat kawan aku yang ada penyakit mental lain jugak.  Bila dia cuba habaq kat orang,  dia dihentam dengan tohmahan macam ni.  Pengalaman peribadi aku sendiri adalah,  bila aku mula-mula post pasai aku bipolar kat Facebook,  ada orang yang PM aku personally dan kata apa aku buat ni salah.  Aku tak sepatutnya cerita everything tentang apa yang aku alami kepada orang ramai sebab lepas ni,  apa sahaja yang akan berlaku kepada aku,  orang akan salahkan aku sebab keadaan mental aku.  Dan orang ni habaq,  sepatutnya penyakit macam ni,  aku kena simpan untuk pengetahuan peribadi dan kawan-kawan rapat sahaja.  Ini lebih selamat,  katanya.


Tapi,  lepas aku open up tentang masalah kesihatan mental aku di sosial media,  aku sebenarnya dapat lebih banyak positiviti daripada negativiti.  (Tapi biasalah kita kan manusia-manusia sendu,  walau banyak mana positif kita terima,  hat negatif juga yang kita ingat kan? 😅😅).  Antaranya,  ada ramai orang yang aku kenal rapat,  kenal di social media,  yang open up dengan aku yang depa ada masalah sekian-sekian dan depa reach out kat aku untuk tanya pendapat.  But of course,  aku jawab soalan yang berkenaan sahajalah.  Yang lebih-lebih,  aku kata....SILA JUMPA DOKTOR.



Kedua,  apa yang aku kongsi ni jadi perbualan terbuka antara suami aku dengan kawan-kawan dia.  Kawan-kawan laki aku ada la tengok aku post kat Facebook,  Youtube pasai aku punya masalah mental.  Depa pun tanya pendapat kat laki aku macam mana nak handle aku,  macam mana nak buat bila pasangan kita dalam keadaan depression?  Nak buat macam mana kan? THANK GOD FOR MY VIDEO RIGHT?  Kalau tak depa tu duduk sekali duk sembang pasai apa ja aku pun tak tau.  Encik Khafi ada habaq kat aku,  depa tanya, "Abang mesti kena tempias kan bila kakak jadi macam ni?"  Hangpa tau Encik Khafi jawab apa kat depa? "Aku bukan kena tempias ja,  aku dah lencun ni..."  😁😁😁


So sebab itulah.  Dah berapa lama aku duk rasa nak tulis pasai benda ni,  tapi tak dak keyakinan langsung.  Pikiaq punya pikiaq,  aku rasa macam MAMPUIH PI LA.....selagi ada manusia kat luar sana,  selagi itulah ada macam-macam tohmahan duk mai.  Kita buat baik pun orang mengata,  kita buat jahat pun orang mengata.  Lani senang macam ni...Aku buat sahaja apa yang aku nak buat!  Yang penting,  aku tau seikhlasnya niat aku baik.  Semoga penceritaan dan perkongsian insan hina macam aku ini, boleh dijadikan panduan untuk kita semua.   Kalau tak dapat banyak,  sikit pun jadi laaaa...



Macam mana saya tahu saya ada Bipolar Disorder?
Aku rasa aku start jadi macam "TIBA-TIBA TAK BOLEH BERFUNGSI" bermula selepas aku kahwin.  Episod tiba-tiba tak boleh berfungsi ni,  aku panggil sebagai HENG untuk mudahkan penceritaaan okay?  Apabila aku HENG,  aku memang tak boleh berfungsi teruih!  Aku akan sakit kepala (migraine yang teruk),  aku akan sengap teruih.  Tak keluar rumah,  tak keluar bilik,  tak makan,  tidur berlebihan ataupun tidak boleh tidoq langsung,  tak jumpa sapa-sapa,  tak jumpa kawan,  tak jawab fon,  tak jawab mesej.  So dalam semua keadaan ini of courselah aku tak boleh pi kerja jugak. 


Aku kahwin tahun 2011,  so aku rasa start dari sinilah episod HENG ni duk mai.  Aku rasa ada banyak contribution kepada keadaan HENG ini.  Stress dengan rumah tangga (suami aku tak kerja,  dia pun macam HENG sebab baru kematian ibu masa tu),  stress dengan masalah kewangan (sebab masa tu aku sorang yang kerja),  stress bila balik rumah sebab dah kahwin kan tiba-tiba kena pikiaq pasai masak la apa semua,  stress dekat tempat kerja (yang ini antara yang paling banyak menyumbang sekali).  


Tapi aku rasa,  benda ni semua normal la sebab kita baru kahwin kan,  masalah akan datang dan pergi.  Tapi aku ni jenih suka pendam kot,  aku suka tunjuk kat orang aku happy dan aku kuat.  So aku simpan simpan dan pendam.  Bila aku terpikiaq satu masalah,  secara otomatik aku akan migraine yang amat teruk.  Pastu aku akan menangis,  tak boleh tidur,  aku teruih HENG.  


So sampai lah tahun 2013,  aku tak tau apa yang aku pikiaq,  aku teruih tak mai kerja untuk 13 hari.  Memang episod yang amat hitam. Sebelum jadi episod itu,  aku minta tukar jabatan tapi ditolak,  aku tengok orang lain kerja sikit,  aku kerja banyak,  aku minta tolong orang untuk selesaikan masalah agihan tugas tapi takdak sapa pun dengar masalah aku,  tapi apa yang pegawai aku lebih hiraukan masa itu adalah "You punya cuti tinggal 7 hari sahaja,  sekarang bulan 9....so macam mana u nak aturkan cuti u sampai hujung tahun?"  Itu adalah turn-down aku yang paling teruk sekali.   Episod ni memang hitam.  Aku rasa ini adalah episod heng pertama aku cuba untuk 'mencederakan diri aku'.  


Lepas selesai kes aku tak mai kerja 13 hari,  aku dapat surat tatatertib,  kena tolak gaji (lebih kurang RM2 ribu lebih),  aku pun akhirnya depa bagi lah tukar ke jabatan lain.  Tapi lepas tukar ke jabatan lain,  aku nampak macam masalah ni sama sahaja.  Walaupun masa tu,  hubungan aku dengan Khafi dah bertambah baik banyak,  masalah kewangan dah takdak,  malah masalah bebanan kerja pun dah kurang.  Cumanya tak boleh dinafikan,  kerja kat jabatan baharu ni memang banyak sebab banyak event/program yang kami kena handle.  Aku selalu EL dan MC sebab sakit kepala melampau pastu aku akan jadi HENG selalunya kalau dah cuti dua hari tu (hujung minggu) mesti akan sambung lagi MC sehari atau dua hari.  So my thinking masa ini adalah,  aku masih HENG sebab aku stress dengan  kerja di ofis. 


Bila ada peluang untuk tukar jabatan (sebab boss aku bersara) aku merayu dengan HR untuk tukar  ke jabatan lain lagi.  Aku cakap elok-elok dengan pegawai tu,  sebab dia pun seorang pegawai yang amat baik,  seorang pendengar.  Aku kata "Kalau boleh tuan bagi la saya pi jabatan yang relaks sikit,  tak mau la jabatan yang saya duk kena 'nade' saja."  Nade tu dalam slang Penang macam kena sesah la. Asyik kena buat kerja saja.  So aku pun dapat pi satu jabatan yang boleh dikatakan lebih relax.  Aku kena jaga boss aku sahaja.  Aku tak perlu hirau pasai aktiviti,  penganjuran program dan apa saja perkara besar dalam jabatan tu.  Sebab setiap task di bawah pengurusan pegawai-pegawai lain yang lebih teratur dan terperinci.


Kehidupan peribadi aku pun makin okay.  Khafi okay,  dah kerja semua elok.  TAPI... EPISOD HENG INI MASIH DATANG.  Sekarang ni episod lagi teruk.  Lebih kerap.  Boleh kata sebulan sekali aku mesti heng.  4-5 hari.  Ada yang sampai seminggu.  Memang teruk la sebab sekarang ni dah amat mengganggu prestasi kerja weh.  Rekod tak baik!  Bukan saja kat tempat kerja,  dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan pun sama jugak.  Tiba-tiba aku akan 'hilang dari radar'.  Takdak respon,  takdak apa.  


So apa yang jadi kat aku ni wehs?  Aku takdak masalah dengan laki aku,  aku takdak masalah duit,  aku takdak masalah dengan tempat kerja,  aku takdak bebanan kerja,  boss aku baik,  kawan-kawan kat tempat kerja baik,  kawan-kawan aku lain semua pun baik juga.  Tapi aku selalu ada episod HENG macam ni dan seperti aku habaq kat atas,  keadaan aku makin teruk la.  Kekerapan makin banyak.  Masa ni tahun 2017,  dah empat tahun daripada episod HENG pertama.


Kawan-kawan dan keluarga semua macam dah masak dengan perangai aku.  Sebab tu la depa panggil aku HENG.  Bila aku hilang,  aku ti sengap.  Mula-mula semua orang akan bara dan marah sebab depa risau kat aku,  aku nanti tinggal bebanan kerja kat depa,  tapi bila aku mai balik,  aku nanti seronok bagi semua orang happy,  aku nanti buat lawak,  aku nanti bagi settle kerja semua.  So semua orang macam dah boleh faham dah HENG aku ni.  Depa dah boleh terima dah aku seadanya.  Depa tak marah kat aku dah.  


Tapi dalam tempoh 4 tahun ni ampa ingat aku tak buat apa-apa ka dengan masalah kesihatan aku?  Migraine aku pun makin teruk,  aku ada buat rawatan hypnosis untuk hilangkan masalah migraine aku dan hilangkan aku punya ketagih pada kaffein.  Hynosis memang berkesan macam mejik,  tapi sat sahaja la.  Masalah HENG aku masih ada.   Aku siap pi jumpa Pengarah Jabatan Kesihatan kat tempat aku kerja dan habaq aku rasa.  So masa dengan Pengarah Jabatan Kesihatan ni la dia nasihatkan aku,  why not kurangkan aktiviti luar selain office dan keluarga.  Sebab tulah aku berhenti kerja MAKE UP BY JUMIE SAMSUDIN (TAHUN 2015).  Tapi dalam semua ikhtiar yang aku buat,  nothing comes to our conversation about mental health problem.  


Sampailah pada hujung tahun 2017,  seorang kawan aku ni,  yang MEMANG BOLEH NAMPAK AKU PUNYA PATTERN KEHIDUPAN,  dia berani cakap kat aku.  "Aku rasa hang kena try pi check dengan doktor psikiatri.  Hang jangan takut.  Benda ni biasa saja.  Ramai orang kat luar sana pun sama macam ni,  hang kalau takut,  takpa...aku ikut hang teman jumpa doktor."  


Masa dia mula-mula suarakan pendapat suruh aku pi psikiatri aku tak marah langsung,  tak rasa offended pun.  Malah tak tau pasaipa dalam hati aku,  aku rasa macam lega sebab at least somebody ada satu alternatif yang LOJIK untuk aku cuba.  Aku rasa lebih offended kalau orang kata apa yang jadi kat aku ni sebab aku tak sembahyang.  Pada hari yang ditetapkan,  kawan aku ni pun teman aku pi hospital.  Hospital swasta.  Dia tolong aku buat appoinment,  tunggu sama-sama dengan aku untuk giliran,  sampailah masuk jumpa doktor!!!  Baik tak kawan aku ni?  Dia memang betui-betui nak tolong,  bukan semata-mata bagi idea pastu blah buat tak tau kat hang.  


Sebab sapa kat sini yang berani pi klinik kesihatan mental sorang-sorang wehs......AKU RASA SAMA JUGAK RASA MACAM HANG NAK PI CEK DARAH SAMA ADA HANG ADA AIDS ATAU TIDAK.  STIGMA TU TETAP ADA.  


Aku bersyukur sebab kawan aku teman aku.  Bila masuk jumpa doktor,  dia yang start cakap dahulu.  Dia cerita secara summary tentang diri aku kat doktor,  apa yang dia observe tentang perubahan pada karakter aku semua.  Tak sampai 8 minit kot,  doktor tu teruih cakap "I think you have a few symptoms of Bipolar"


Masa tu ayaq mata macam nak melinang dah.  Tapi aku tahan.  Lepas kawan aku dah habis cakap semua,  dia pun minta izin untuk keluar dari klinik tu.  Dia tinggalkan aku untuk sesi pertama dengan doktor psikiatri tu.  Lepas kawan aku beredar,  doktor tu pun mula tanya aku lebih banyak soalan supaya dia lebih faham dengan keadaan dan masalah aku.  Lepas aku cerita lebih lanjut macam mana aku share kat atas kat dia,  so dia pun habaq, "I think you have bipolar disorder".    Aku kena makan ubat Lithium Carbonat 600 gram.  1 bijik pagi.  1 bijik malam.  

AYAQ MATA MELELEH MACAM GILA..........



Apa itu Bipolar Disorder?
Bipolar disorder ni secara ringkasnya aku nak habaq adalah macam ni.  'Bi' dalam bahasa latin bermaksud DUA.  'POLAR' pulak dalam graf-graf ukuran sains dan matematik adalah puncak.  So bipolar secara ringkas maksudnya,  dua puncak.  Puncak atas dan puncak di bawah.  Bipolar disorder ni bermaksud,  orang macam kami mempunyai dua puncak 'emosi' iaitu SERONOK NAK MAMPUIH ataupun SEDIH NAK MAMPUIH.  


Faham setakat ni murid murid?  


Orang lain pun sedih juga,  orang lain pun seronok jugak.  Tapi orang yang ada bipolar ni lain wehs.  Dia punya seronok sampai boleh perabih duit kat Giant Hypermarket tak pasai-pasai sebanyak RM600.  HAHAH aku tak pernah habaq kat sapa-sapa selain laki aku pasai benda ni.  Ni first time aku habaq kat orang. Lawak wehs,  mood punya best pagi-pagi bangun,  kemaih rumah,  mandi,  basuh kain semua,  pastu pi Giant beli barang rumah sampai RM600.  Duit tak cukup,  called Taufik Noor suruh transfer masuk dalam bank aku RM100.  HAHAHAH bodonyaa wehs.


Bila tengah SERONOK NAK MAMPUIH ni banyak lagi benda bodo dan lawak aku buat wehs. Bersemangat tak pasai-pasai sampai 2 malam tak tidur,  duk buat apa?  Aku pun tak tau.  Dia aktif tapi dia tak produktif.  Faham tak?  Dia macam semua benda hang nak buat dalam satu masa tapi semua benda tu hang buat tak habis.  Lagi satu bestnya time SERONOK NAK MAMPUIH ni adalah,  aku boleh buat lawak tak berenti dan energy aku banyak gila.  


Tapi SERONOK NAK MAMPUIH ni boleh jadi sesuatu yang tak baik ka?  Of course boleh!  Sebenarnya bila hang jadi SERONOK NAK MAMPUIH hang macam tak boleh control hang punya tenaga dan semangat tau.  Masa hang tengah SERONOK NAK MAMPUIH,  hang suruh aku pi jumpa Donald Trump dan sikat remos dia pun aku boleh.  Aku tak takut,  aku tak malu.  NOTHING CAN STOP ME.  (Sila masukkan soundtrack muzik Wonder Woman kat sini:  https://youtu.be/fctMc6SxVFY?t=50


Ada satu keadaan yang sangat tak baguih bila aku tengah SERONOK NAK MAMPUIH adalah insiden tahun 2018.  Masa ni aku dah diagnosed as bipolar disorder dan aku dah start medication.  Tiba-tiba aku dengar benda tak best,  aku bara gila nak mampuih,  aku mengamok dan teruih buat facebook live.  Sapa ingat part ni?  Lepas aku buat facebook live,  aku maki hamun semua.  Aku menangis macam gila,  aku tak sedar diri wehs.  Tangan ketaq semua nak mampuih.  Pastu sedar-sedar 1 bulan aku tak keluar rumah.  HENG.  Itulah puncak SERONOK NAK MAMPUIH yang tak baguih.







Bila hang seronok nak mampuih,  semua orang sekeliling hang pun seronok nak mampuih.


So bila mai pulak episod SEDIH NAK MAMPUIH ampa faham la kontra dia macam mana.  Tiba-tiba hang rasa macam semua yang aku buat dalam hidup ni adalah salah.  Aku pikiaq la pasaipa aku kerja macam ni,  pasaipa aku miskin,  pasaipa aku tak happy,  pasaipa aku tak kaya,  pasaipa aku tak dapat beli rumah lagi.  Aku rasa bab ni banyak terpengaruh dengan desakan dalam media sosial.  Bila tengok orang lain post macam ni,  macam tu.  Aku pun mulala terpikiaq macam-macam.  Aku nanti pikiaq over-over sampai sakit kepala.  Migraine memang teruk wehs bila pikiaq lebih.  Bila tengah migraine dan sakit otak teruk ni,  kepala tak boleh berhenti pikiaq all the WORRIES in my world,  menangis tak berhenti la pulak.  Tak pasai-pasai menangis sampai 20 minit tak berhenti.  Pasaipa aku nangis? Aku pun tak tau.  


Pastu aku akan tidoq melampau.  Tidoq sampai 3 hari tak bangun pun ada.  Bangun untuk pi makan dan kencing saja.  Pastu tidoq balik.  Mandi?  Sembahyang?  Jangan tanya la.   Dalam keadaan SEDIH NAK MAMPUIH ni,  mula-mula dulu aku start dengan mencederakan diri aku.  Aku akan ketuk kepala aku sendiri dengan penumbuk aku,  ketuk banyak-banyak kali bagi hilang sakit ataupun hilang BENDA YANG AKU DUK PIKIAQ BODO DALAM OTAK TU.  Aku tak pernah buat lebih dari tu sebab aku masih takut jugak nak toreh diri aku dengan pisau.  Pernah pikiaq,  tapi tak berani nak buat.  Nasib baik.  


Apa aku berani buat?  TELAN UBAT.  hahahahaha.  Apa sahaja ubat yang ada dalam rumah,  aku akan telan.  Tak kisahla ubat apa pun.  Kan kalau kita demam ka sakit apa,  pi klinik nanti ada ubat belen-belen kan?  So semua ubat tu aku akan telan.  Standard effect,  aku akan khayal sat pastu jatuh tidur la.  Tapi tak pernah mampuih.   Paling teruk,  aku telan ubat punya banyak sampai aku muntah dan cirit banyak-banyak kali.  Muntah lendiaq kaler kuning,  berak cirit lendiaq kaler hijau.  Banyak kali sampai lembik.  Tapi aku tak mampuih jugak.  Haram betui.  


Inilah cara paling mudah nak bagi hangpa faham tentang bipolar disorder tau.  Aku harap hangpa boleh la nak faham sikit-sikit.  Macam depression la. Tapi kami special sikit,  kami ada part yang kami jadi over excited.  Depression ni dia jadi hitam teruih. 


Aku ada satu video paling aku suka nak share kat orang pasai Bipolar Disorder dan penerangan ini lebih diperjelaskan secara saintifik.  Sila tengok.  



Bipolar Disorder tu Split Personaliti ke?
Dadima pernah tanya ni kat aku,  aku teruih rasa macam James McAvoy dalam cerita Split.  Jawapannya,  tidak.  Bipolar disorder adalah manusia dalam karekter dan personaliti yang sama tetapi dalam keadaan emosi dan mood yang berbeza.  Split personaliti pulak dalam satu jasad boleh ada lebih daripada 2 personaliti yang berbeza.  Satu jasad boleh ada personaliti kanak-kanak,  orang tua,  lelaki,  perempuan,  binatang.  Selalunya orang yang kena split personaliti ni dia macam lalui trauma yang hebat dalam hidup dia.




Bipolar disorder pulak boleh terjadi dalam beberapa keadaan (yang ni depa selalu duk bincang la).   Pertama sebab keturunan.  Lepas benda ni jadi kat aku barulah mak aku start open up tentang saudara yang mempunyai simpton macam aku.  Duduk dalam bilik seminggu tak bercakap dengan orang.  Kedua sebab environment.  Persekitaran ni biasalah,  tempat kerja,  pemakanan,  masalah keluarga.  Semua tu persekitaran la.  

Ni muka tak keluar rumah 1 minggu pastu Encik Khafi hantar aku mai wad emergency GH Penang.  Masa ni malam birthday aku 29th Mac.  Masa ni SEDIH NAK MAMPUIH.  Lepas gambar ni di ambil,  aku halau laki aku keluaq.


Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental,  Hospital Pulau Pinang
Selepas episod mengamok kat Facebook Live dan tak keluar rumah selama 1 bulan,  aku kembali ke hospital swasta yang aku dah pi dari awai tu.  Tapi aku amat kecewa sekali dengan doktor tu sebab bila aku pi kat dia,  aku habaq apa jadi kat aku.  Dia jawab macam ni saja dengan selamba dan takdak perasaan "Who asked you to skipped medicine?  And I font want to write anything to your work place.  It's not my problem."


Hangpa bayangkan perasaan aku masa tu.  Dah la aku 1 bulan tak keluar rumah,  dia orang luar pertama yang aku CAKAP.  Dan dia habaq macam ni kat aku?  Sebab itu aku stop pi hospital swasta tu dah.  Aku pun refer dengan hospital kerajaan iaitu Hospital Besar Pulau Pinang.


Aku memang puas hati mai sini dan aku duk mai rawatan kat sini lagi sampai lani.  Aku rasa aku ada perubahan banyak lepas mai rawatan kat sini.  Pasaipa?  Bila aku refer mai hospital ni,  depa bukak fail baru la kira kan.  Depa tak simply amik apa yang doktor sebelum ni diagnose.  Depa tanya aku soalan lebih mendalam dan terperinci.  So bayangkan,  sampai ke soalan "Masa awak dilahirkan,  ada apa-apa masalah?"  Haa sampai macam tu sekali la.


So lepas soal siasat yang lebih terperinci,  depa diagnose benda yang sama iaitu Bipolar Disorder.  So mula-mula depa bagi aku dose ubat yang sama,  Lithium Carbonate 600g.  So 1 bijik pagi.  1 bijik malam.  1 bijik 300g.  Lepas dua minggu lagu tu kot kalau tak salah aku,  aku kena mai lagi sekali dan aku kena cek darah.


Lepaih depa amik sampel darah dan periksa,  rupa-rupanya aku kena makan ubat dose yang lebih tinggi.  Haaaaaaaaaaaaa inilah yang hospital swasta tu tak buat.  Sebab tula aku boleh mengamok sampai buat Facebook live kot.  Aku pun lani kena makan 1 setengah bijik siang dan 1 setengah bijik malam.


Apa ubat ni buat?  Aku rasa lah kan......kalau aku salah sila betulkan aku.  Aku habaq ni kira berdasarkan apa yang aku rasa la.  Ubat lithium carbonate ni dia macam bagi aku relaks tau.  So pagi aku kena makan 1,  malam aku kena malam 1.  Bila aku makan,  aku jadi relaks, tak kelang kabut.  DIA TAK KHAYAL.  Tapi hang macam sustain hang punya energy supaya hang tak over use.    Bila hang over use tenaga hang yang boleh jadi macam dua keadaan aku cerita kat atas la.  SERONOK NAK MAMPUIH atau SEDIH NAK MAMPUIH.


Aku masih lagi duk pi klinik psikiatri kat GH (General Hospital ataupun Hospital Besar) Penang.  Aku sangat rekemen kat sapa sapa pun di luar sana kalau hangpa nak pi cek pasai hangpa punya masalah mental,  maila hospital kerajaan.  Pasaipa?

1)  Sebab hospital kerajaan ada banyak doktor,  so doktor semua boleh fokus kat satu-satu kes.

2)  Ubat style banyak nak mampuih.  Aku pun tak tau la sama ada pharmacist tu silap kira ka apa,  tapi each time aku pi check up baru punya,  ubat aku masih berlambak.

3) Sebab murah u olls!  Sekali aku pi RM5 sahaja.

4)  Sapa kata hospital kerajaan lani lambat?  Hangpa pi hospital swasta pun sama lambat jugak. 

5)  Doktor kat GH Penang semuanya baik-baik!  Cara depa tanya soalan,  cara depa dengar cerita hang.  Dah la depa ni muda-muda.  Aku rasa macam aku dijaga dengan lebih elok la dengan doktor kat sini.  Lebih yakin.

6) Selain rawatan klinikal (ubat),  Hospital Kerajaan macam kat Hospital Pulau Pinang jugak menawarkan macam-macam khidmat lain sebagai terapi tambahan.  Benda ni tak wajib pun,  hang boleh stop bila-bila masa..  Aku pi terapi kerja.  Kat sini aku belajar cara breathing.  Banyak membantu wehs!  Breathing yang betul membuatkan oksigen masuk banyak dalam otak hang.  Pastu aku belajar cara relax kan muscle.  Dua benda ni,  aku selalu buat.  PERUBAHAN PALING KETARA,  aku tak mengamok dan pemarah macam dulu lagi.  Dah kurang banyak la.  Pastu aku punya tidur,  memang kalau aku buat breathing teknik ni betui-betui hari-hari,  memang letak kepala ja...lena teruih!  Selain terapi kerja,  aku jugak pi sesi kaunseling.  Aku suka sesi kaunseling kat Hospital Pulau Pinang (sama bangunan dengan wad bersalin) sebab kaunselor ni memang best.  Nanti aku cerita dalam post lain.  Aku pi semua sebab FREE!


Apa Perasaan aku?
So sekali lagi la nak habaq,  kepada hangpa semua di luar sana jangan la duk takut sangat dengan klinik kesihatan mental ni semua.  Hang depression,  hang bipolar,  hang anxiety...yang hang memang ada something wrong dengan otak hang.  Bila hormon,  enzim dan segala tindak balas kimia lain dalam badan kita tak selari dengan otak.  Sama macam sakit demam selsema,  hang kena makan ubat kan?  Haa itulah.  Nak bagi otak hang elok ja balik.


HANG BUKAN GILA!  Masyarakat Malaysia masih lagi memandang serong kepada seseorang yang mempunyai masalah mental.  Bagi depa,  pesakit mental adalah gila.  Gila tu maknanya dah hilang kewarasan,  tiada pertimbangan,  dan sebagainya.  BUT,  SO WHAT IF WE ARE CRAZY?  SAPA YANG TAK CRAZY?  Semua orang kat dunia ni gila.  Bagi aku la kan,  lebih baik aku jadi gila (bipolar disorder) makan ubat duduk sengap-sengap,  bila zohor kena tidoq sat sebab mengantuk ubat HAHAHA.  DARIPADA GILA SAKIT HATI DENGKI KHIANAT NAKHARAM JADAH DUK FITNAH ORANG TAK BERHENTI BAGI ORANG BERGADUH SANA SINI SAMPAI PORAK PERANDA HIDUP ORANG.  Yang tu tak gila jugak ka?  So kita hat yang makan ubat ni jugak yang sakit?  Orang tu tak sakit la kan?


So janganla takut nak pi hospital dan buat appointment untuk dapatkan rawatan yang sebaiknya.  Telefon hospital kerajaan yang mempunyai klinik psikiatri,  tanya bila hari yang DIBUKA UNTUK PESAKIT LUAR.  So mai awai-awai kat klinik tu,  pukul 8 mai daftar.  Spend la masa dengan doktor tu,  sembang dan luah apa yang hang rasa dan alami.  Silap hari bulan,  hang tak gila pun,  hang just stress pada masa tertentu sahaja sebab mungkin dalam tempoh tu,  hang baru kehilangan seseorang,  hang ada masalah kewangan,  stress dengan study?  Yalah,  kadang-kadang stress ni temporary sahaja.  Tapi kita yang duk over banyak dan tulis macam-macam dalam internet,  pastu duk self diagnosed diri kita ada anxiety attack jugak kunon sama macam Diana Daniel.  Toya.


Aku rimaih orang-orang duk self diagnosed ni. Duk join Facebook group sampai dua tiga group,  buat akaun palsu sebab tak mau identiti diri sebenar diketahui,  pastu duk post semua pasai kesihatan mental hari-hari kat FB group tu,  dia rasa nak buat ni,  rasa macam tu,  rasa lagu ni.  Tapi bila tanya hang pi doktor tak?  TAK PI.  Haram betui.......Ha samala macam orang yang sakit demam.  Dua minggu demam tak kebah, pastu duk mengadu kata selsema la,  sakit badan la,  lenguh la.  Bila tanya hang pi klinik tak amik ubat?  TAK PI.  Orang-orang macam ni la yang membuatkan orang yang betul-betul sakit macam kami dipandang serong oleh masyarakat. 


Tapi aku dah baca dah, bipolar disorder tak boleh baik.  Aku akan ada benda ni sampai aku mati. Sedih la bila dengar.  Tapi aku takdak la sedih sampai anxiety attack macam Diana Daniel.  Aku rasa sebenarnya aku sangat happy dan lega sebab akhirnya AKU TAHU APA YANG SEDANG AKU HADAPI DAN LALUI.  Dan setiap hari aku belajar pasai Bipolar Disorder ni. 


Sejak aku dah start makan ubat,  pi terapi apa jadah semua,  dan buat benda-benda lain seperti mana aku selalu duk baca dan tengok tips dalam Youtube.  (Kat Youtube ada banyak orang Amerika buat video pasai Bipolar Disorder dengan kat Amerika banyak orang ada bipolar.)  Aku rasa aku punya cycle bipolar ni makin elok la.  Lani..........boleh kata 3 bulan ke 4 bulan sekali baru aku ada episod HENG!  Setakat hari ni aku tulis artikel ni bulan September 2019,  the last episod aku HENG adalah pada Mac 2019.  Not bad kan?  Dan bila aku HENG,  aku tak menangis melampau ataupun ada perubaan untuk mencederakan diri tu takdak dah.  ALHAMDULILLLAH!


So itulah aku nak habaq SIKIT kat hangpa pasai Bipolar Disorder.  Terima kasih sudi luang masa dan baca.  Kalau ada apa-apa hangpa nak tanya,  atau suruh aku ulas,  boleh emel kat aku di jumiess@gmail.com ataupun tinggalkan mesej pada ruang di bawah blog ini.


Jangan lupa baca artikel-artikel lain catatan saya tentang bipolar disorder dalam blog ini di sini:  I HAVE BIPOLAR DISORDER

5 comments:

  1. Aku tau hang kuat jumie... Jangan mengalah... Aku suka n Sayang kat hang.. Walaupun kenai hang melalui blog hg... I lap u bebehhhh

    ReplyDelete
  2. salam kak jumie...
    boleh tulis something and share to readers kak jumie pasal utuber dari china nih liziqi nama dia

    nih one of her video kak jumie boleh tengok https://youtu.be/bZsfEwr9i6I

    ReplyDelete
  3. take it slow jumie.. kami ada bersama..yang tak paham tu lanttakkan deme tau3

    ReplyDelete
  4. Hang amat bertuah sbb ada kawan & family yang amat memahami. Its priceless. Treasure that. All the best. Keep writing ya.

    ReplyDelete
  5. Dulu tahun 2015, aku kerap tiba2 nafas laju mcm panik, ada perasaan mcm hidup ni dah tak lama. Mcm ajal dah nak tiba. Aku pi doktor klinik, check jantung ok, tekanan darah ok.. semua normal. So doktor bg surat pi hospital. Kat hospital depa check balik, test semua jantung pakai ecg, ambik darah test fungsi organ..

    Turn out semua normal.

    And..... aku dpt surat pi jumpa pakar psikiatri.

    Aku tak pi pun sbb aku rs ehhh aku tak gila.

    Bila aku baca ni jumie, aku paham. Aku perlu bantuan.

    -isabellamaisara

    ReplyDelete

Selamat mengomen. Untuk lebih lanjut, boleh terus emel kepada saya di jumiess@gmail.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...